CATEGORY
- OFFICE FURNITURE
- SCHOOL FURNITURE
- BEDROOM SETS (24)
- JUNIOR COLLECTION (13)
- LIVING ROOM SETS (1)
- OUTDOOR FURNITURE (6)
SUBSCRIBE NEWSLETTER
HARIAN METRO
Sasar jualan RM4 juta
Oleh Sofyan Rizal Ishak
Kuala Lumpur: Ramaco Bena Sdn Bhd (Ramaco Bena), pengeluar perabot terkenal berpangkalan di Terengganu menyasarkan jualan RM4 juta pada tahun ini berbanding RM2.6 juta tahun lalu dibantu dengan penerokaan pasaran di luar negara dan pengukuhan pasaran tempatan.
Pemiliknya, Abdul Rahman Ismail berkata syarikat yakin mampu mencapai angka itu melalui pengukuhan bahagian pemasaran antarabangsa dan tempatan di samping bantuan mesin baru bernilai RM1.6 juta daripada Lembaga Industri Perkayuan Malaysia (MTIB) menjelang separuh kedua tahun ini.
“Kami mengambil keputusan untuk memberi tumpuan kepada pasaran eksport selepas terpaksa memberhentikan operasi lapan tahun lalu ekoran situasi ekonomi dunia tidak stabil,” katanya pada Bisnes Metro di sini, baru- baru ini.
Beliau berkata, Ramaco Bena menyasarkan peningkatan 10 peratus nisbah pasaran eskport perabot syarikat pada tahun ini dan ia dijangka meningkat kepada 50 peratus menjelang tahun depan dibantu bantuan jentera daripada MTIB.
“Bantuan terbabit diyakini mampu meningkatkan kapasiti pengeluaran perabot di kilang kami di Kuala Terengganu sekali gus dapat memenuhi permintaan daripada pasaran luar negara dan tempatan,” katanya.
Rahman berkata, Ramaco Bena akan memulakan operasi pasaran eksport pada tahun ini melalui penghantaran lapan kontena dengan perabot kanak-kanak dijangka menjadi produk pertama dipasarkan ke pasaran Timur Tengah dan Afrika Utara.
Menurutnya, syarikat lebih cenderung untuk menarik perhatian pembeli berskala kecil buat permulaan atas faktor kekangan kapasiti eksport dengan sasaran di pasaran negara seperti Rusia, Trinidad & Tobago, Hong Kong dan Ecuador.
“Kami fokus kepada eksport kerana ia memiliki saiz pasaran lebih luas namun dalam masa sama, kami akan terus mengukuhkan pasaran tempatan yang terdiri daripada kontrak kerajaan, tender terbuka dan pasaran runcit,” katanya.
Ramaco Bena adalah sebuah syarikat Bumiputera yang ditubuhkan sejak 1982 dan menghasilkan perabot untuk kediaman, pejabat dan sekolah di samping turut menjalankan perniagaan bingkai tingkap dan pintu.
ABDUL Rahman bersama perabot yang dipamerkan di Malaysian International Furniture Fair 2014.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/09